
Ini saya Posting setelah Baca Novel " API TAUHID" Siapa yang suka dengan karya novel Habiburrahman El Shirazy, maka Novel
yang berjudul " Api Tauhid" akan menjadikan anda menjadi muslim yang
tangguh, terutama bagi anda yang ambil posisi sebagai penyampai risalah
rasulullah (dakwah), sebab dalam novel tersebut ada sosok yang sengaja
diungkap. Ia lah seorang yang ulama figuran dizaman itu, ulama yg
mengetahui di detik-detik robohnya daulah khilafah, walau ia sempat
berucap politik bagaikan sesuatu yang buruk dimatanya, tapi kalimat
tersebut hanya sebagai bentuk dari kecemasannya melihat politik dizaman
itu, layaknya kita dizaman ini, yang melihat umat islam makin jauh dari
islam disebabkan menganut sistem politik sekuler, akhirnya banyak kaum
muslimin meletakkan politik seperti najis yang harus dijauhi, padahal ia
merupakan hal pokok yang menjadikan islam benar2 terjaga dan
terpelihara, politik yang kita benci malah sesuatu yang amat hebat bila
kita selami, makin anda tidak mau ambil bagian dalam politik islam
(dalam barisan pejuang daulah khilafah), maka musuh kita makin senang,
sebab ia masih punya kesempatran menguasai seimber daya alam yang ada
dinegeri kaum muslimin, sekaligus memperbudak orang2 islam
Disusun dan
diterjemah oleh :
Wan Jaffree
bin Wan Sulaiman (SRI ABIM Kedah)
Khairul
Anuar Mohd. Nayan (Universiti Kebangsaan Malaysia)
Kekaguman
Zaman (Badiuzzaman)
Badiuzzaman
Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di kampung bernama “Nurs”, di timur
Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan
asas daripada para ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah
menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini
membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai.
Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah
menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan
biasa di kalangan ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan
ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa
ini, beliau pun digelar Badiuzzaman (Kekaguman Zaman).
Pengalaman
pendidikan yang telah beliau lalui telah membukakan fikirannya untuk memikirkan
cara untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bersepadu. Ketika itu, dunia
sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di
mana sains dan lojik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama
perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden
pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, “Dengan cara ini, para
pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah
agama akan dilindungi dari sikap taksub”.
Dalam usaha
merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduaya adalah pada tahun 1907.
Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di
Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu.
Ketika bercakap
dengan Sultan Abdul Hamid, Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar
sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah
tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut
dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah
hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang
memeriksanya melaporkan “Jika Badiuzzaman gila, maka tidak akan ada seorang
manusia siuman pun di dalam dunia ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.
Kebebasan
Pertama
Sering kali
Badiuzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan
cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap
dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan.
Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya
melakukannya pada sesuatu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang
dihukum gantung masih di tiang gantung di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman
telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.
Selepas itu,
beliau kembali ke Timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk
menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di
Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa
semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang
Islam. Perundangan Islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam
suasana yang bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan
syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.
Pada musim
sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di
Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam
ceramahnya, beliau berkata bahawa tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan
berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali
lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia
Timur. Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan
Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di
mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata,
"Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan
pusat Dunia Islam." Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar
menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian
pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya,
pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama
meletus.
Dalam Perang
Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang
Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di
medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah,
termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu.
Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan
tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah
menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab.
Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam
kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para
ulama terkenal.
Dalam satu
pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang
pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa,
iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.
Badiuzzaman
pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas
Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga
merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia. Walau bagaimana pun, hukuman itu
kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti berikut:
Pada satu
hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan
di hadapan Badiuzzaman tetapi ulama itu tidak bangun menghormatinya. Bila
ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang
ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa saja yang ada iman di
dalam hatinya adalah lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak
bertentangan dengan iman saya.” Akibat dari peristiwa itu beliau kemudianya
dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman
dijalankan, beliau telah sempat bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral
Nicholas Nicolavich melihat kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta
maaf. Jeneral itu berkata beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak
demikian kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf
atas gangguan tersebut. Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan
oleh orang Russia, musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh
sebahagian orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang
penuh dengan berbagai penderitaan.
Kekacauan
yang meletus kerana Revolusi Komunis, memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk
melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai
ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat
penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan
kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun
begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul
Hikmah Al Islamiah tanpa pengetahuanya. Beliau tidak membantah kerana jawatan
ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.
Semasa
negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia
Pertama. Badiuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada
penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Di antara
kata-kata yang ditujukan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar
harian ialah, “Wahai anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang
tertinggi” dan “Ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu”.
Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan
pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman tersebut dan terus
berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru yang sedang ditunggunya.
Dalam tahun
1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak.
Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke
Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di
Ankara dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada
di Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para
perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama.
Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan
mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50
hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini
semakin bertambah.
Badiuzzaman menghabiskan
masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan
dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara
itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta
sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi
beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari
luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu
kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita
yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.
Sekali lagi
Badiuzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau
dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa.
Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang
ramai di sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk
buku. Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu
rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke
Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat
tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan
keseorangan.
Kemunculan Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya)
Sebenarnya
penyebaran iman bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga
bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal
ini dianggap satu jenayah pada ketika itu. Pada masa itu, kezaliman
menyelubungi negara Turki dengan segala kegelapan dan kezaliman. Azan telah
diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk tujuan bukan keagamaan.
Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara Turki daripada zaman
silamnya yang terkenal dengan segala nilai-nilai akhlaknya yang mulia. Sesiapa
yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan
Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar memotong sebarang makalah yang
menyentuh isu agama dalam tempoh 10 hari atas alasan merbahaya kerana boleh
menyemai konsep agama di dalam pemikiran para belia.
Dalam
suasana beginilah Badiuzzaman Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya
"Said Jadid” (Said Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan
sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran
iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula iman dan
Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada
dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak
akan padam”. Maka itulah yang diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati
keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama
matahari, menyinari dunia sains dan budaya. Semenjak itulah, beliau telah
menyinari berjuta-juta manusia dengan cahaya iman.
Di Barla,
pengawasan ketat dan penindasan sedang menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya
masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika
Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British
yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung
sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga
apabila terpaksa berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang
lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.
Beliau telah
menghabiskan hidupnya di Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang
dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i
Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan
para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu,
mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan
tangan adalah kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah
disiksa di dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai
usaha dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badiuzzaman.
Sebanyak
600,000 naskah ditulis dengan tangan.
Ketika itu
penulisan atau penyebaran walaupun hanya 1 karya agama bukanlah sesuatu yang
sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang
menjadi pilihan Badiuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana
Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka
betapa benar kata Maryam Jameelah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan
bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah
atas usaha tanpa penat dari Badiuzzaman Said Nursi”.
Mereka yang
memahami intipati iman melalui Risale-i Nur mencapai tahap keimanan yang kental
sehingga mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat.
Badiuzzaman, yang mewakili roh Risale-i Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi
ratusan ribu pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati
karya tersebut. Beliau menjadi contoh kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika
itu. Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama
seorang ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian
dan kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka pun berjaya menghilangkan
ketakutan dan syak wasangka dari hati orang ramai dan maruah negara
dikembalikan. Mereka telah membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan
orang-orang Islam daripada rasa cemas dan kecewa.
Pada tahun
1935, Badiuzzaman bersama 125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di
Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka
terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh
dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka masih membawa harapan dari kelegaan
dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada perasaan cemas dan kecewa.
Badiuzzaman
kemudianya dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus
menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya
tidak diberi kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur
yang dinamakan “Posman Nur” (Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya
menyebarkan sebanyak 600,000 naskah Risale-i Nur ke seluruh Anatolia.
Pada tahun
1943, beliau bersama 126 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di
Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia
satu risalah di Istanbul mengenai kewujudan Tuhan.
Perjuangannya
tidak pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara,
beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap
tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan
karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara.
Jadi, karyanya ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari
kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian diseludup keluar di dalam kotak-kotak
mancis. Karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini.
Perbicaraan
di Denizli berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi
ini tidak bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan
daripada pihak berkuasa di Ankara, beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain
bernama Emirdag.
Kebebasan
yang diluar Batas
Bagi
Badiuzzaman, Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi
beliau diawasi, ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan
iman dan Islam. Tenmpohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan
penangkapanya. Kali ini beliau bersama dengan 53 pelajarnya telah ditahan dan
dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk dibicarakan. Beliau dipenjarakan di
penjara Afyon selama 20 bulan. Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk
berbanding yang lain. Badiuzzaman ketika itu berumur 75 tahun dan sedang
menderita berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik
penjara bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur.
Di dalam bilik penjara bertingkap pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua
musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat
membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau
diracun sebanyak 19 kali). Ketika beliau menderita kesakitan akibat racun
tersebut, beberapa orang pelajarnya memberanikan diri untuk menolongnya tetapi
telah dibelasah dengan kejam sekali.
Akhirnya
hukuman ke atas Badiuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau
bagaimanapun, Mahkamah Agung telah mengambil masa yang lama untuk membuat
keputusan. Mahkamah membatalkan hukuman tersebut setelah Badiuzzaman dan para
pengikutnya menghabiskan tempoh penjara yang sama panjang dengan hukuman yang
dikenakan oleh Mahkamah Afyon. Lapan tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956,
Mahkamah tersebut mengistiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan
dua tahun dalam penjara yang teruk.
Pilihanraya
bebas dan adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem
pelbagai parti telah menggantikan sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti
Republikan Rakyat yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk
kebebasan dan hak mula diikhtiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah
Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama
parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam
hanya 1 perbicaraan saja. Dalam perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak
ditahan. Keputusannya ialah beliau dibebaskan sebulat suara.
Selepas
hampir seabad berkhidmat untuk iman dan Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali
ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh
kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyinari abad ini dan
abad-abad yang mendatang. Kasih sayang yang dipupuknya akan diperturunkan dari
satu generasi ke satu generasi untuk selama-lamanya.
Pandangan
terhadap Risale-i Nur
Badiuzzaman
telah memahami sebab yang paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai
kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada
asas keimanan pada abad ke 19 dan 20 ini yang dijalankan oleh fahaman
kebendaan, ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf
bahawa keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk menguatkan dan
menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk mengerahkan semua
tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab
persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan “Jihad yang
Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.
Dalam masa
penahananya, Badiuzzaman telah menulis satu koleksi karya yang digelar Risale-i
Nur, yang menerangkan dan menghuraikan asas-asas keimanan dari kebenaran
Al-Quran kepada manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan
menganalisis keimanan dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang
rasional dan terang bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua
kebenaran yang terkandung dalam keimanan seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya,
kerasulan dan kebangkitan manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat
diterangkan sebagai satu satunya penjelasan yang rasional dari keujudan manusia
dan alam semesta ini.
Dalam menjelaskan keadaan yang
sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risale-i
Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh
diperolehi dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat dari
kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan
kesedihan yang amat sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha untuk
menghilangkannya melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai sebarang kesedaran boleh mengambil
perlindungan dengan cara berpegang kepada keimanan.
Berikutnya
adalah beberapa petikan yang di utarakan oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini
keatas Badiuzzaman dan Risale-i Nur:
Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan
meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan
yang besar dalam memelihara keimanan
orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh Ahmad Sirhindi di
India. 2. Pergerakan Abdulhamid ibnu
Badis di Algeria 3. Pergerakan Badiuzzaman Said Nursi di Turki.
Prof. Abdul Wadud Celebi
(Universiti Al-Azhar,Mesir)
Saya percaya bahawa penulisan dalam
Risale-i Nur sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan menyeluruh kepada
kosmos seperti keadaaannya yang sebenarnya, menyampaikan keimanan dengan
pentafsiran Al-Quran seperti yang dikehendakki oleh Rasul kita, mencari sebab
penyakit yang menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang dapat
menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya berkepecayaan bahawa pengarang Risale-i Nur layak untuk
di gelar Mujaddid.
Dr. Colin Turner (Telah memeluk Islam)
(Universiti Manchester,England)
Rujukan :
1. Umit Simsek, 1989, A brief biography
of Bediuzzaman Said Nursi, Sozler Yayinevi, Istanbul.
2. Collin Turner, 1992, The Risale-i-Nur as a New School of Belief.,International
Symposium : The construction of Islamic thought in the twentieth century and
Bediuzzaman Said Nursi, Sozler Publication, Isatanbul.
3. Abdul Wadud Celebi, 1992, International Symposium : The construction of
Islamic thought in the twentieth century and Bediuzzaman Said Nursi, Sozler
Publication, Isatanbul.
0 komentar:
Posting Komentar